Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Askar Melayu Terkorban Dalam Tragedi Hitam Di Air Hitam, Dungun


Kali ini kami ingin kongsikan kepada pembaca Suara Dungun satu tragedi yang pernah berlaku di Air Hitam melibatkan Askar Melayu kita.

Kisah ini bermula pada 16 September 1941, satu kompeni Askar Melayu daripada Kompeni “A” Batalion Pertama dari Pusat Latihan Perang di Tanjung Sura, Dungun diarahkan membuat latihan perang bertempat di Dungun, Terengganu.

Tugasan ini adalah untuk memantau dan mempertahankan Daerah Dungun dari kemaraan tentera Jepun sekiranya meletus Perang Dunia Kedua.

Pada esok harinya pula mereka diwajibkan membuat latihan di Air Hitam, Paka Dungun. Major England berbangsa British merupakan ketua kompeni ini.

Kemudian mereka yang lengkap beruniform perang telah berjalan kaki menelusuri laluan pantai dari Tanjung Sura dan terus menuju ke arah Kuala Paka.

Setelah tiba di Paka berdekatan dengan Pengkalan Feri Paka (sekarang di kepala jambatan Paka di sebelah uatara), mereka (kompeni itu) telah menerima arahan berikutnya untuk membuat pengkalan di hutan, ia terletak atas bukit di Air Hitam. Bukit itu sekarang merupakan loji penapis air.

Allahyarham Leftenan Raja Lope Nor Rashid (Rekrut No.25 - Anak Melayu pertama memegang pangkat Brigedier Jeneral sehingga 19 November 1959) Turut sama di dalam dalam latihan tersebut. Termasuk juga, Jeneral (Tan Sri Hamid Bidin, ketika itu berpangkat sarjan) dan Lans Koperal Hamzah.

Turut sama dalam latihan ketika itu Allahyarham Leftenan Raja Lope Nor Rashid (Rekrut No. 25 – Anak Melayu pertama memegang pangkat Brigedier Jeneral sehingga 19 November 1959), Jeneral (Tan Sri Hamid Bidin, ketika itu berpangkat sarjan) dan Lans Koperal Hamzah.

Kira-kira jam 11 malam pada 17 September 1941, mereka telah dimaklumkan bahawa terdapat seekor harimau telah merayau-rayau berhampiran kawasan namun mereka tidak mengusirnya atas arahan Lans Koperal kerana khuatir berlaku hal yang tidak diingini.

Pada esok tanggal 18 September 1941, semua anggota yang mengambil bahagian dalam latihan itu telah bersiap sedia di tepi Sungai Paka di Air Hitam. Kedudukan Askar Melayu ketika itu bertentangan dengan tangki loji air tersebut.

Setelah itu, arahan diberikan oleh Pegawai-Pegawai Rentah Latihan untuk mereka (anggota terlibat) menyeberangi sungai.

Major England merupakan orang yang mula-mula dihantar ke seberang sana oleh anggota Askar Melayu dengan menaiki sebuah perahu jalur. Selepas Major England itu sudah berada di seberang, berikutnya pula adalah Lans Koperal Hamzah,

Tetapi, ketua seksyen iaitu Sarjan Nordin telah meminta izin dengan Lans Koperal Hamzah untuk menyeberangi dulu dan Lans Koperal Hamzah memberikan kebenaran.

Selepas itu enam Askar Melayu yang diketui Sarjan Nordin pun turun ke tebing sungai kira-kira setinggi 18 kaki itu bersama dengan enam buah rakit. Rakit-rakit itu diperbuat dari 'ground sheet' yang di dalamnya diisi dengan lalang dan daun-daun kering.

Kemudian rakit berkenaan diikat dan dicantumkan menjadi satu. Setelah itu, keenam-enam orang Askar Melayu bergantung sambil sebelah kaki dan tangan lagi berdayung menuju ke seberang sana.

Tiba-tiba salah satu dari enam rakit tersebut bocor sebaik sahaja mereka sampai di tengah sungai. Rakit itu pun tenggelam dan sekaligus menenggelamkan keenam-enam askar berkenaan.

Ketika itu mereka turut membawa peluru senapang, topi besi, senapang (Raifil No.1 MK.3), Granite 36, berkasut Ankle dan lain-lain.

Oleh kerana peralatan-peralatan perang sememangnya berat itu berada di badan mereka, maka keenam-enam pejuang negara terus tenggelam di dalam sungai.

Jadual latihan ketenteraan itu bertukar menjadi usaha mencari dan menyelamat anggota terbabit. Tragedi malang itu terus dilaporkan ke Ibu Pejabar Markas Latihan Perang Dunia Kedua yang terletak di Tanjung Sura, Dungun.

Kesemua Askar Melayu yang terlibat dalam latihan itu turut sama mencari mangsa yang tenggelam. Penduduk Paka dan anggota polis Dungun juga membantu memberikan kerjasama.

Besi penyakut iaitu rawai telah digunakan untuk mencari mangsa yang tenggelam. Besi penyangkut itu ditarik dengan sampan di dalam Sungai Air Hitam. Ditarik ke merata sudut.

Akhirnya setelah 24 jam, kesemua mangsa telah berjaya ditarik keluar di lokasi yang berlainan dari sungai tersebut.

Mereka dikenalpasti sebagai Sarjan Nordin Haji Noh, Perajurit Alaudin Muhamed, Perajurit Ngah Ahmad Alang Mat Hassan, Perajurit Darus Ngah, Perajurit Sahat Mubin dan Perajurit Muhamed Sharif Daud.

Makam Askar Melayu, Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Dungun.

Kesemua jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya di Dungun. Sebuah batu peringatan setinggi dua meter dibina oleh pasukan “A Kompeni”.

Dan pada batu ini bertulis “Inilah Makam Enam Orang Askar Melayu Kita Telah kemalangan Pada Waktu Menjalankan Pekerjaan di Sungai Paka pada 18 September 1941 bersaman 26 Syaaban 1360.

Semoga roh mereka dicucuri Rahmat Ilahi dan ditempatkan di kalangan insan-insan yang soleh. Aamiin... Al-Fatihah.

Rujukan : Yusuf Abu Bakar, Enam Askar Melayu Terkorban Di Sungai Hitam, Dungun – Dalam Kenangan, Berita Darul Iman keluaran November/Disember 1991. Dan bersumberkan Rakan Sejarah Dungun.

Catat Ulasan for "Askar Melayu Terkorban Dalam Tragedi Hitam Di Air Hitam, Dungun"

IKLAN
IKLAN