Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Dua Lelaki Tersesat 3 Jam Di Bukit Bauk

DUNGUN: Keterujaan dua orang sahabat mendaki Bukit Bauk bertukar cemas setelah mereka tersesat di hutan berkenaan selama tiga jam sebelum diselamatkan oleh pasukan keselamatan.

Walau bagaimanapun kedua-dua lelaki tersebut, Muhammad Haikal Mohd Faiz Azmi dan Ahmad Syakir Aidil Mat Zahari berusia 20-an semalam ditemui selamat kira-kira pukul 1:30 tengah hari dalam keadaan keletihan.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azman Alias berkata, dua sahabat itu iaitu Muhammad Haikal dan Ahmad Syakir yang masing-masing menetap di Marang dan Felda Kerteh 3 di sini telah memasuki hutan tersebut menerusi Taman Rimba Bukit Bauk pada pukul 8:30 pagi. 

"Pada awalnya, mereka berdua telah mendaki Bukit Bauk yang mempunyai ketinggian hampir 400 meter melalui laluan denai disediakan sehingga tiba ke puncak bukit.

"Kemudian, kedua-dua mereka akhirnya tersasar dari laluan asal pendakian ketika dalam perjalanan menuruni bukit," katanya kepada wartawan Kosmo! pada hari ini.

Tambah Azman lagi, Muhammad Haikal dan Ahmad Syakir yang cemas ketika itu telah menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan kecemasan pada pukul 12 tengah hari.

Katanya, kira-kira 20 anggota pasukan mencari dan penyelamat yang terdiri daripada anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia berjaya menemui mereka.

Dua sahabat itu ditemui pada anggaran kedudukan dua kilometer dari laluan pendakian asal hampir setengah jam kemudian.

Sumber: Kosmo

Catat Ulasan for "Dua Lelaki Tersesat 3 Jam Di Bukit Bauk"

IKLAN
IKLAN