Paka: Sejarah Perkembangan Penduduk Dan Sungai Paka
Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pembaca SD sekalian. Semoga anda semua berada dalam keadaan baik-baik sahaja.
Pada kali ini SD nak berkongsi dengan anda satu tempat bernama Paka. Pasti ada di antara anda pernah sampai Paka, kan? Ada yang menetap di sini?
Dahulunya paka cuma pekan lama yang kecil yang jumlah penduduknya pun tak ramai. Dikatakan ada beberapa ribu orang sahaja.
Di antara kampung-kampungnya pula dikatakan tak sampai 100 keluarga. Rujukan ini diambil dari cerita, Allahyarham Ayah Ngah Dayang, Ayah Su Jusoh (Pinang Merah) dan Allahyarham Ayah Ngah Limbong menerusi blogspot pakaindah.
Menurutnya, dahulu nak solat Jumaat pun kena tanya cukup ke tak 40 orang jemaah? Itu kalau di masjid selain masjid Kuala Paka.
Kemudian pada tahun 1985, jumlah penduduk pun bertambah secara mendadak. Pembangunan pun berlaku setelah pembukaan industri pertroleum di sempadan Paka-Kerteh.
Apabila diimbas kembali, tahun 70an, keadaan jalan raya begitu lengang. kenderaan lalu pun dalam 10 minit sekali. Kenderaan utama penduduk pula ketika itu adalah basikal, rumah-rumah di sepanjang jalan bermula dari Air Hitam ke Paka pun jarang ada.
Pendek kata, rumah orang kampung di Kg. Nyiur, Wakaf Hijau (Pinang Merah), Tebing Tembah (selepas SK Tebing Tembah ke jambatan Paka) rumah pun tak ada. Dan di Kuala Paka (selepas kawasan Pusat Niaga Paka ke Kerteh tiada rumah)
Begitulah keadaannya pada tahun itu. Memang jarang jumpa rumah. Rumah pun jauh-jauh di antara satu ke satu rumah. Penduduk tak ramai lagi pada waktu itu.
Orang-orang lama begitu kenal dengan Panggung Wayang Pok Man, Klinik Paka (Pusat Kesihatan) di Pantau Pakai, Kedai Aduka di tapak balai polis Paka sekarang. Itulah nama-nama yang begitu popular.
Sungai Paka
SD nak kongsi pula mengenai Sungai Paka. Sungai ini merupakan sungai kedua terbesar dan terpanjang di Daerah Dungun selepas Sungai Dungun.
Sungai Dungun bermula dari Banjaran Pantai Timur iaitu di Pasir Raja manakala Sungai Paka pula bermula di Hulu Kongsi.
Sungai Paka ini memang memberikan pengaruhi yang besar terhadap penempatan penduduk kerana Pekembangan penduduk Paka bermula di sini pada peringan awal. Ia dibina disepanjang sungai.
Menurut sumber, Hulu Kongsi itu merupakan tempat perlombongan bijih timah. Ia terletak di Durian Mas. Mungkin generasi muda kini kurang biasa dengan Hulu Kongsi.
Katanya di sana kebanyakan mereka yang tinggal di situ berpangkal nama 'Che Wan'. Pelombong Cina dan sebahagian orang Melayu sekitar Paka pun datang. Itulah sejarahnya.
Penduduk Awal
Ini pula tentang kisah penduduk awal. Kuala Paka pada peringkat awal didiami oleh orang-orang Melayu. Pekerjaan pada masa itu adalah menangkap ikan. Kuala Paka, Tebing Tembah, Pinang Merah dan Kampung Nyiur merupakan kampung-kampung lama di Paka.
Selepas itu muncul penempatan baru dengan pilihan kesesuaian pekerjaan baru iaitu pertanian. Maka muncul Kampung Santung dan Kampung Durian Mentangau (dahulu dikenali sebagai 'Kawasan').
Akhirnya Kuala Paka pun terus berkembang menyebabkan wujud kampung-kampung baru seperti Kampung Cacar, Kampung Telaga Mas, Kampung Gong Gemia dan lain-lain.
Berikut adalah di antara Kampung dan Taman Perumahan yang wujud di Paka:-
- Bukit Bauk
- Kuala Paka
- Kampung Gemia
- Kampung Santong
- Kampung Limbong
- Kampung Cacar
- Kampung Nyior
- Kampung Gong Beting
- Kampung Pinang Merah
- Kampung Air Hitam
- Kampung Baru Tebing Tembah
- Rumah Murah Gong Gemia
- Taman Gembira
- Kampung Chachar Baru
- Taman Sri Bayu
- Taman Suria
- Taman Gembira
- Taman Indah
- Taman Budi
- Taman Murni Perdana
- Kampung Bukit Merahe
- Taman Impian
- Taman Paka Perdana
- Taman Beril 2
Penempatan Kaum Cina
Berikut pula tentang kisah bermulanya tentang penempatan kaum Cina di Kuala Paka. Menurut sumber, kaum Cina (Hokkien) ini datang dari China dan merupakan golongan peniaga.
Mereka tinggal di kawasan kuala dan menjalankan aktiviti perniagaan dari satu generasi ke satu generasi. Dan orang-orang Melayu ketika itu memaklumkan mereka bersifat lembut dan peramah serta ber'asimilisasi' dengan baik kepada masyarakat Melayu.
Kaum Cina ini serba tahu tentang selok belok adat istiadat Melayu dan pandai bertutur loghat tempatan. Pendek kata cakap pekat bahasa Terengganu. Kalau kita yang dengar, tutup mata tak tahu orang Cina yang bercakap rupanya.
Pada waktu itu mereka juga gembar dan boleh membaca tulisan jawi terutama membaca akhbar tulisan jawi. Malah ada di antara mereka yang bersunat (berkhatan). Cuma cara mereka berpakaian sahaja masih orang Cina.
Rengit Kampung Tebing Tembah
SD pernah juga dengar nama Rengit tapi tak pasti sebutannya macam mana, Reng-it ke atau Reng-ngit? Tak tahu mana satu yang betul. Tapi menurut sumber, Kampung Tembing Tembah terkenal dengan orang-orang 'Rengit'.
Rengit ini merupakan orang Melayu yang tinggal di kampung lama Tebing Tembah berhadapan dengan pekan Kuala Paka. Nama itu dikatakan kemungkinan diambil daripada perbukitan berdekatan di mana sebahagian besar dari mereka bercucuk tanam.
Pekerjaan
Kita berkongsi pula berkenaan pekerjaan iaitu kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh penduduk Paka pada peringkat awal.
Seperti yang sedia maklum, penduduk awal merupakan nelayan dan petani. Itu adalah kegiatan utama atau pekerjaan rutin mereka pada ketika itu.
Dalam sektor pertanian, getah dan padi (padi huma) merupakan sumber utama pertanian pada ketika itu. Kawasan dari Tebing Tembah hingga ke Durian Mentangau merupakan kawasan yang rendah sesuai untuk tanamannya.
Tanaman ini boleh dilihat di sepanjang jalan raya. Begitu juga di Santong mempunyai kawasan tanaman padi yang begitu luas.
Tunas Manja (bukan Tunas Manja dekat pasar malam Paka) tapi TMG yang satu lagi yang dari Kerteh. Dari Tunas Manja tersebut sehingga ke penghujung kawasan loji minyak dekat Kerteh terdapat ladang kelapa.
Ladang tersebut dikatakan terbesar dan dimiliki oleh orang Inggeris. Disebabkanb itu, apabila diperhatikan masih terdapat saki baki pokok kelapa sepanjang perjalanan.
Nama ladang tersebut pula diberi nama Ladang Nyior Matel. Namun menurut pencerita, ejaan sebenar 'Matel' pencerita sendiri tidak pasti kerana mendengar dari mulut orang tua.
Variasi pekerjaan penduduk mula bertambah sekitar tahun 1960 begitu. Ia berlaku setelah pembukaan kilang-kilang papan di Tebing Tembah dan di Kampung Cacar (di seberang masjid Hadhari sekarang).
Ada yang kerja di kilang proses kayu mega iaitu Austasia Timber nama syarikat tersebut. Kilang itu memproses kayu untuk dieksport ke negara-negara sejuk terutama Australia. Selebihnya ada yang bekerja di lombong bijih besi di Bukit Besi.
Jadi begitulah dari pekongsian serba ringkas dan semoga mendapat sedikit informasi dari artikel ini. Terima kasih kepada pembaca sekalian semoga kalian semua dirahmati. Aamiin.
Sampai jumpa lagi...
Catat Ulasan for "Paka: Sejarah Perkembangan Penduduk Dan Sungai Paka"