Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kes Gaduh 'Backup' Anak Semakin Jadi Trend

Gambar hiasan

"Melentur buluh biarlah dari rebungnya"
Maksud: Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

Terkini banyak kisah para ibu ayah bergaduh semata-mata untuk 'backup' anak dari ditegur orang luar.

Ini tak menunjukkan apa-apa perilaku buruk dari sang anak, hakikatnya apabila perkara begini terjadi, Allah mahu menunjukkan betapa buruknya segilintir sikap ibu ayah akhir zaman ini.

Kerana mengikuti hawa nafsu, mudahlah bagi syaitan menunggang emosi dan perasaan. Fikiran pula telah diprogram oleh keegoan, hati keras dengan kesombongan, menegakkan benang yang basah satu perkara biasa!

Jika anak difitnah, maka tugas ibu ayah menunjukkan kematangan dalam menguruskan fitnah tersebut dengan berbincang mencari mana yang haq mana yang bathil. Pandailah dalam menguruskan provokasi. Menjauhi pertelingkahan amatlah terpuji!

Jika benar anak sendiri yang salah, maka ibu ayah perlu menerima segala kelemahan dan kekurangan diri. Berlapang dada dan berikan lah hukuman yang setimpal semoga anak tersebut mempelajari dan menjaga adab dikemudian hari. Mohonlah kepada Allah semoga anak kita mempunyai akhlak yang baik kelak!

Didiklah anak dengan penuh kasih sayang dan kelembutan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang terhalang dari (sifat) lemah lembut, maka (sungguh) dia akan terhalang dari (mendapat) kebaikan.” (H.R. Muslim)
Emosi perlulah diuruskan dengan baik, tiada siapa yang tidak sayang anak sendiri, namun sayang anak jangan lah sampai kita "buta"!

Tapi para ibu ayah juga harus merenung dan mengevaluasi diri, baik itu dari konteks tarbiyah (didikan) dan juga dari segi menafkahi (memberi makan). Kerana kedua-dua faktor ini sangat besar erti dan pengaruhnya terhadap perkembangan si anak, baik fizikal, mental, rohani mahupun sifat dan tingkahlaku.

“Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh nyata bagimu.”

(Al-Baqarah: 168)
Berikut adalah kisah yang perlu diambil pengajar kita bersama sebagai ibu ayah atau bakal ibu ayah;

Di zaman Nabi SAW, ada seorang ibu yang begitu resah melihat kenakalan anaknya, sehingga pada suatu ketika sang ibu itu bertanyakan hal tersebut kepada Nabi Besar kita, Nabi Muhammad SAW,


“Ya Nabi, kenapa anak saya begitu nakal, sehingga saya sangat resah melihat dan memikirkannya,” tanya ibu tu.

Jawab Nabi “Janganlah kenakalannya itu yang kamu fikirkan, namun cubalah merenung dan mengingatkan serta melihat ke belakang, pernahkah kamu memberi makannya dengan harta yang tidak halal yang tidak jelas asal usulnya?”

“Rasanya tidak pernah ya Nabi, kerana setiap kali suami saya pulang membawa nafkah, selalu saya menanyakan asalnya dari mana dan dengan cara bagaimana mendapatkannya (makanan tersebut). Tapi pernah satu kali saya mengambil sepotong kayu bakar di pinggir jalan yang saya jadikan untuk menanak nasi, lalu nasi itu kami makan secara bersama termasuk juga anak saya,” akui sang ibu.

“Nah, itulah asbab anak mu menjadi nakal sekarang, kerana sepotong kayu bakar yang kamu ambil di pinggir jalan bukanlah milik mu, maka ianya adalah benda yang haram! Benda haram itu kamu jadikan untuk menanak nasi dan nasinya dimakan oleh anakmu. Makanya sekarang, jangan salahkan anakmu, kerana pada hakikatnya yang salah itu adalah kamu sendiri, kerana telah membesarkan anak mu dengan sebahagian harta yang tidak halal,” jelas Nabi Muhammad SAW.

Dari sepenggal kisah di zaman Nabi SAW ini, dapat mengambil kesimpulan bahwa hanya gara-gara sepotong kayu bakar yang diambil di pinggir jalan, anak boleh menjadi nakal. Apa lagi kalau kita memberi makannya jelas-jelas dengan harta haram, seperti hasil rasuah, korupsi, nepotisme atau dengan wang hasil curi,rompak, judi mahupun lain-lain dengan jalan yang bathil.

Pada dasarnya anak itu terlahir dalam keadaan suci dan bersih, bagaikan kain putih tanpa noda. Kitalah yang telah menjadi asbab membentuknya melalui 'amalan-amalan' kita!

Semoga Allah menjadikan kita ibu ayah dan bakal ibu ayah yang bertaqwa, yang matang, yang beradab dan berakhlak dalam menghadapi rintangan dan mehnah ujian hidup ini.

Aamiin Allahumma amiin

Wallahualam Bissawab.

Najib Khalid Jafri
(Penulis Bebas)

Catat Ulasan for "Kes Gaduh 'Backup' Anak Semakin Jadi Trend"

IKLAN
IKLAN